Latar Belakang Ramlee_Awang_Murshid

Ramlee Awang Murshid dilahirkan pada 4 November 1967 di Papar, Sabah. Beliau bersekolah di Sekolah Rendah Kapayan, Kota Kinabalu dari 1974 hingga 1979. Ramlee menamatkan pengajiannya selama 4 tahun di Kolej Sabah dalam tahun 1984 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).[1]

Beliau pernah melibatkan diri dalam teater sejak zaman remaja lagi. Beliau banyak memainkan peranannya sebagai seorang pengarah, penulis dan juga pelakon. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai wartawan RTM selama lebih 20 tahun bermula 1986. Tugasan kewartawanan ada kalanya membawa Ramlee menjelajah ke pelbagai negara dan menjadi penyumbang besar terhadap karya-karyanya. Sebahagian hasil tulisannya yang berlatarkan negara luar seperti Jepun adalah diinspirasikan daripada pengalamannya.

Dalam dunia penulisan, Ramlee terkenal sebagai novelis seram dan sudah empat kali memenangi sayembara penulisan yang antaranya melalui kejayaan novel Pei Pan yang diiktiraf pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002.[2]

Pelajar Terbaik Komunikasi Massa 2000 UKM ini[2] menyifatkan kejayaan Pei Pan meninggalkan kenangan paling manis kepada Ramlee kerana beliau penulis pertama dari Sabah yang meraih kemenangan bagi hadiah terbabit.

Beliau yang menerima Watikah Penghargaan Khas daripada UKM pada 2001 dan Pelajar Terbaik Keseluruhan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (2002)[2] sudah menghasilkan lebih 13 buah novel (Rujukan lama, perlu pembaharuan) antaranya ialah Tombiruo, Ranggau, Mandatori, Satu Janji, A.D.A.M, Semangat Hutan dan Rahsia Perindu. Beliau banyak mempertaruhkan elemen seram dan seram ngeri dalam novelnya hingga mendapat julukan sebagai penulis novel thriller.

Novel terbarunya, Bagaikan Puteri, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negeri Sabah dan sambutan daripada peminat menyebabkan dia teruja menyambung novel terbabit sehingga lahir trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta.

Adaptasi filem untuk salah satu daripada karyanya; Tombiruo sedang menjalani proses penghasilan di bawah kerjasama penerbitan Astro Shaw, penerbit buku Karangkraf, Ideate Media dan syarikat penerbitan milik Ramlee sendiri, Layar Sunan. Filem tersebut dijangka akan memulakan tayangan pada 2017.[3]